Petronas sumbang bungkusan makanan untuk penduduk luar bandar Sabah

KOTA KINABALU, 7 Dis – Bagi memastikan kanak-kanak di kawasan luar bandar Sabah mendapat pemakanan yang seimbang, Petronas dan Jabatan Kesihatan Sabah menyediakan bungkusan makanan yang mengandungi beras, susu dan makanan tambahan kepada 700 penerima sejak pertengahan 2017.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Christina Rundi berkata: “Food Basket adalah program jangka panjang Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah pemakanan tidak seimbang dalam kalangan anak-anak kecil.

“Kami gembira apabila Petronas menawarkan diri untuk menghulurkan dana yang membolehkan kami tiba ke 13 daerah yang sebahagian klinik terletak di kawasan paling terpencil,” katanya.

Petronas dalam kenyataan hari ini berkata bantuan untuk membekalkan bungkusan makanan ke 130 klinik kerajaan di Pitas, Kota Marudu, Kinabatangan, Tongod, Sipitang, Kudat, Kuala Penyu, Lahad Datu, Kota Belud, Beaufort, Tuaran, Penampang dan Ranau, akan diteruskan sehingga akhir 2019.

Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan Rokiah Sulaiman berkata: “Kami mahu kualiti kesihatan yang lebih baik untuk kanak-kanak. Kerjasama ini adalah selaras dengan program Sentuhan Kasih (yang dilancarkan Petronas pada 2005) untuk membantu golongan kurang bernasib baik.”

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *