Sabah Bakal Miliki Kilang Tayar Menjelang 2020

Madius (tiga kiri) bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara UMS dan Hoyu Recycling and Retreading Sdn Bhd. Gambar SNT/Ehsan MTI

KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki kilang pembuatan tayar tersendiri menjelang 2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata dengan termaterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan syarikat tempatan Hoyu Recycling and Retreading Sdn Bhd, Sabah mampu mengeluarkan produk tayarnya tersendiri.

“Proses pembuatan peringkat awal akan bermula pada Januari di China terlebih dahulu.

“Apabila Hoyu mencapai sasaran kualiti pembuatan untuk dikeluarkan, ia akan bekerjasama dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk pengeluaran tayar di sini.

“Pembuatan akan dibuat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang mana kita bekerjasama untuk menyediakan kilang pembuatan tayar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara Fakukti Kejuruteraan UMS dan Hoyu Recycling and Retreading Sdn Bhd.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata pencapaian berkenaan adalah satu perkembangan positif dengan melibatkan usahawan tempatan serta menggunakan institut pendidikan Sabah sebagai pusat penyelidikan.

Tambahnya melalui MoU berkenaan akan menggunakan getah yang akan dibeli daripada LIGS lebih kurang 10 tan sebulan.

“Kerjasama yang ditandatangai tadi adalah satu kerjasama selama lima tahun antara kedua-dua pihak.

“Bagi kita ini adalah satu perkembangan yang baik dalam pembangunan industri di Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS Abdul Karim Mirasa berkata pihaknya sedang menjalankan tujuh kajian melibatkan getah dan pembuatan tayar tersebut.

Beliau berharap sepanjang kerjasama berkenaan, pihaknya mampu mengeluarkan produk-produk berasaskan getah seperti tayar khususnya.

“Dan penghujung 2018 ini kita berharap juga dapat lahirkan produk menggunakan getah.

“Melalui kajian-kajian yang dibuat juga, ia mampu membantu negeri ini untuk menyumbang sesuatu melalui kitar semula bahan getah daripada dibuang.

“Projek ini sudah tentu dipanggil sebagai teknologi hijau,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *