AirAsia mula perkhidmatan laluan eksklusif Kuching-Tawau

Keterangan gambar: (Lima dari kiri) Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YBhg. Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai; Isteri kepada YB Datuk Abdul Karim YBhg. Datin Zuraini Binti Abdul Jabbar; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YB Datuk Christina Liew; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak YBhg. Hii Chang Kee; Pengurus Besar Sabah Tourism Suzaini Datuk Sabdin Ghani dan Pengarah Perhubungan Kerajaan AirAsia Zamani Rafique di majlis perasmian penerbangan AirAsia Kuching-Tawau hari ini di Lapangan Terbang Tawau.

 

TAWAU, 5 Disember 2018 – AirAsia hari ini meraikan perkhidmatan laluan dari Kuching ke Tawau, menjadikannya satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan ibu negeri Sarawak ke bandar ketiga terbesar di Sabah.

Penerbangan empat kali seminggu tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 10.50 pagi dan dinaiki oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengarah Perhubungan Kerajaan AirAsia Zamani Rafique dan pegawai-pegawai lain.

Setibanya di Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.45 tengah hari, pesawat tersebut disambut dengan pancuran air dan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar YB Datuk Christina Liew.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Kami berbesar hati untuk merasmikan perkhidmatan baharu kami dari Kuching ke Tawau pada hari ini yang merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk meningkatkan rangkaian di Malaysia Timur. Sehingga kini, kami telah menerbangkan lebih 3.8 juta orang tetamu ke dan dari Kuching serta 1.1 juta orang tetamu ke dan dari Tawau, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 19% dan 30% dari tahun lepas, dan kami jangka angka ini akan terus meningkat dengan laluan baharu ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan kerana meluluskan laluan ini dan laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) kami yang akan datang dengan kekerapan dua kali setiap hari iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu yang boleh ditempah mulai hari ini dan bakal beroperasi pada 1 Januari 2019. Kami juga menjangkakan laluan baharu ini terus menyumbang kepada ketibaan pelancong di Malaysia Timur. Kami turut ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dan lembaga pelancongan atas sokongan mereka, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan semua destinasi ini untuk menjadi tempat pelancongan yang bernilai tinggi.”

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YB Datuk Christina Liew berkata, “Penerbangan AirAsia Kuching-Tawau merupakan usaha yang baik selari dengan usaha Kementerian untuk mempromosikan sektor pelancongan di Pantai Timur Sabah khususnya Sandakan dan Tawau. Kami sedang dalam proses untuk memanfaatkan potensi Tawau sebagai satu lagi destinasi percutian utama bagi pelancong domestik dan asing melalui 30 pakej pelancongan yang dilancarkan awal tahun ini.”

Untuk meraikan perkhidmatan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang istimewa daripada serendah RM49* sama ada dari Kuching atau Tawau. Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 15 Disember 2018 untuk perjalanan segera hingga 16 Disember 2019.

AirAsia juga menawarkan TEMPAT DUDUK PERCUMA** untuk laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu. Promosi ini tersedia untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 16 Disember 2018 untuk perjalanan antara 1 Januari 2019 dan 4 Februari 2020.

AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) kini terbang ke 12 destinasi dari Kuching – Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Johor Bahru, Bintulu, Pulau Pinang, Sibu, Tawau, Miri, Shenzhen, Pontianak dan Singapura. Syarikat penerbangan ini juga terbang dari Tawau ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Kuching. – Newsroom Airasia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *