Gurau melampau

AL yang hanyak berseluar dalam dan badan dipenuhi dakwat melarikan diri daripada rakannya.- Agensi

BEIJING: Seorang pengantin lelaki parah dengan pelbagai kecederaan selepas dilanggar kereta ketika melarikan diri daripada rakan-rakan yang menyakatnya dalam acara sebelum majlis perkahwinannya.

Ai Guangtao, 24, yang cuma berseluar dalam berlari ke lebuh raya berhampiran rumahnya dengan badannya dipenuhi dakwat pada hari perkahwinannya hujung minggu lalu kerana tidak tahan disakat rakannya yang menjadi sebahagian tradisi majlis bagi masyarakat Cina.

Guiyang Evening News melaporkan, Ai ketika itu mahu pulang ke rumahnya dari rumah isterinya pada pagi Ahad.

Sakat-menyakat menjadi acara biasa dalam majlis perkahwinan Cina dan bertujuan mewujudkan suasana riang.

Namun pada hari itu, rakan Ai mencampak telur serta menuang bir dan dakwat ke atasnya, mengikatnya pada tiang elektrik menggunakan pita pelekat sebelum memukulnya menggunakan buluh.

Ibu saudaranya Chen Xiaomen berkata, Ai berjaya melepaskan diri selepas tidak tahan dengan perbuatan rakannya.

“Keadaannya ketika itu menyedihkan, dia dikejar sehingga sampai ke kawasan bersebelahan lebuh raya dan tiada tempat lain untuk dituju,” katanya.

Ai kemudian memanjat pagar yang memisahkan lebuh raya sibuk berkenaan, namun terus dilanggar kereta.

Chen berkata, dia dan beberapa rakan berjaya menahan ambulans yang kebetulan lalu di situ lalu membawa Ai ke hospital.

Ai retak tengkorak, selain mengalami pendarahan dalam otaknya, lapor South China Morning Post.

“Semua yang terbabit dalam upacara itu adalah rakan baik Ai. Namun kami sekeluarga kini terkesan dengan tindakan mereka.

“Majlis sepatutnya menggembirakan menjadi tragedi,” kata Chen.

Katanya, keluarganya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan terbabit. Pada masa sama, rakan Ai mengaku kesilapan mereka serta menyumbangkan lebih 6,000 yuan (RM3,600) untuk rawatannya.

Upacara berkenaan tradisi yang diamalkan sejak ribuan tahun lalu dan bertujuan mengusir roh jahat.

Ia masih popular dalam masyarakat Cina, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin dikritik kerana sering memalukan pengantin lelaki, malah kadangkala membabitkan keganasan.

Bukan pengantin lelaki saja menjadi mangsa, malah pengantin perempuan juga kadangkala dipaksa melakonkan perbuatan seksual dengan bakal suami.

Pengapit juga tidak terkecuali dan sering diraba, malah ada juga kejadian di mana ibu bapa pengantin dipaksa memakai kostum yang memalukan.

Selalunya, pasangan pengantin dan ibu bapa mereka ‘menutup mata’ serta akur semua arahan semata-mata tidak mahu mencacatkan majlis perkahwinan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *