Tindakan Tegas Terhadap Individu Guna Nama Timbalan Menteri Kaut Keuntungan

KOTA KINABALU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar tidak mengeluarkan sebarang sokongan kepada permohonan IMM13, MYPR dan MYKAS seperti didakwa oleh pihak tertentu.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata ini kerana sebarang permohonan harus mengikut proses undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Saya mengambil maklum berhubung sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan menaip dan memberi akuan bersumpah yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi pemegang IMM13, MYPR dan MYKAS kononnya mereka boleh mendapatkan sokongan daripada saya.

“Laporan mengenai kegiatan syarikat tersebut sudah saya terima dan saya juga sudah mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pihak syarikat serta individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri memberitahu, ekoran tindakan syarikat itu yang didakwa menggunakan nama beliau untuk mengaut keuntungan, pihak polis telah menahan reman beberapa individu daripada syarikat tersebut.

Menurut beliau Pusat Khidmat Rakyat itu dikunjungi orang ramai setiap hari dan sesuai dengan peranannya membantu rakyat, maka tidak wajar untuk menyekat daripada orang ramai datang bagi mengadu mahu pun menghantar permohonan.

Bagaimanapun beliau menegaskan tidak ada sokongan dikeluarkan daripada pihaknya mahu pun daripada pejabatnya untuk permohonan IMM13, MYPR dan MYKAS.

Katanya kakitangan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar hanya mengumpul permohonan yang dihantar dan mereka juga tidak terlibat dalam kegiatan mengeluarkan sokongan seperti didakwa.

Tular di media sosial gambar orang ramai dipercayai pemegang IMM13 menyediakan surat permohonan MyPR kononnya yang akan disokong oleh Azis kelak.-SabahNewsToday

403