LAHAD DATU : Sebutir bom mortar lama dipercayai peninggalan ketika pertempuran Op Daulat 2013 ditemui anggota tentera di kawasan hutan yang terletak kira-kira 200 meter dari Pos Tentera Kampung Tanduo, dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata bom sepanjang 81mm itu ditemukan pada pukul 10.49 pagi sebelum satu laporan polis dibuat pada hari yang sama.
“Bom itu telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu pada pukul 3.10 petang, semalam.
“Kerja-kerja pemusnahan bom lama itu selesai pada 3.45 petang tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda awam,” dalam kenyataan di sini hari ini.
Nasri berkata kawasan penemuan bom telah diisytiharkan selamat dan boleh beroperasi semula seperti biasa.
Hasil siasatan, jelasnya bom berkenaan dipercayai digugurkan sewaktu operasi menentang penceroboh di Kampung Tanduo di sini pada 2013 dan tidak meletup.
Turut bersama dalam kerja pemusnahan bom adalah Ketua Jabatan StaRT, Assisten Komisioner, M. Chandra.-SabahNewsToday