Kanak-kanak Tidak Lengkap Dokumen Dibenarkan Masuk Sekolah Kebangsaan Dengan Syarat..

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menerima kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen lengkap ke sekolah-sekolah aliran kebangsaan dengan syarat salah seorang ibu atau bapa anak berkenaan ialah warganegara Malaysia.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata ibu bapa kepada kanak-kanak itu perlulah mengemukakan surat pengesahan atau surat perakuan Ketua Kampung bahawa anak itu adalah warganegara.

Dr Maszlee Malik

“Kanak-kanak yang sudah mempunyai surat pengesahan atau surat perakuan ketua kampung akan diberi kebenaran bersekolah.

“Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak ini perlu berusaha untuk menguruskan dokumen pengenalan diri yang diperlukan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman di Dewan Rakyat pada Selasa.

Berhubung dengan inisiatif ‘Kanak-kanak tiada kewarganegaraan boleh mula bersekolah 2019’ yang diumumkan baru-baru ini, Maszlee memberi jaminan bahawa inisiatif itu tidak akan menjejaskan peluang dan kemudahan persekolahan kepada murid-murid tempatan di seluruh negara.

“Kementerian bertanggungjawab menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi bagi menampung keperluan murid-murid sekolah kerajaan.

“Ketika ini, kementerian sedang giat melaksanakan sesi libat urus dan perbincangan dengan pelbagai agensi kerajaan termasuklah Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan agensi berkenaan selaras dengan dasar serta peruntukan agensi masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pihak kementerian juga merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak Jabatan Imigresen peringkat negeri serta kerajaan Sabah, Sarawak dan negeri lain bagi mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif itu.

Menerusi sesi berkenaan, pihaknya menjangkakan akan memperoleh maklumat sebenar berhubung isu akses pendidikan bagi golongan kanak-kanak tiada kewarganegaraan, di negeri-negeri berkaitan.

Dalam soalan tambahan, Ma’mun juga bertanya berkaitan kes 700 murid tempatan ‘terapung’ disebabkan kementerian itu sebelum ini memberi peluang kepada kanak-kanak tidak lengkap dokumen mendaftar di sekolah kebangsaan.

Maszlee berkata kerajaan Malaysia Baru tidak akan membenarkan kejadian murid tempatan ‘terapung’ berulang lagi.

Katanya, kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk membenarkan murid-murid tempatan tidak terapung dan berada dalam kelas masing-masing.

“Kementerian ini juga tidak akan mengabaikan dan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan semua sekolah daif akan segera dibaiki atau dibina,” katanya.

Katanya lagi kerjasama di antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah sentiasa berterusan.

“Saya juga telah berjumpa dengan menterinya sebanyak lima hingga enam kali sebelum ini…saya jamin kepada Sabah bahawa mereka tidak akan diketepikan dalam isu pelajaran di bawah kepimpinan Kementerian Pendidikan baharu,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *