Pramugara rakyat Malaysia dipenjara setahun cuba seludup keluar wang hampir RM1 juta

SEORANG pramugara rakyat Malaysia dijatuhkan hukuman dipenjara 12 bulan di United Kingdom kerana terbabit kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang tunai berjumlah berjumlah 150,000 pound (RM807,305), semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang pramugara rakyat Malaysia dijatuhkan hukuman dipenjara 12 bulan di United Kingdom selepas tertangkap ketika cuba menyeludup keluar wang tunai berjumlah 150,000 pound (RM807,305), dari negara itu.

Suspek yang berusia 37 tahun dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika dibicarakan di Mahkamah Isleworth Crown, kelmarin.

Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom dalam satu kenyataan, semalam melaporkan suspek berasal dari Selangor itu ditahan Terminal 4 Lapangan Terbang Heathrow, London bersama wang tunai berkenaan yang disorok dalam dua beg miliknya.

“Selepas mengimbas dua beg terbabit, staf keselamatan yang melakukan pemeriksaan menemui wang tunai sebanyak 100,000 pound (RM538,203) dalam sebuah beg beroda manakala 50,000 pound (RM269,102) lagi dalam beg sandang berwarna hitam.

“Ketika ditahan, suspek akan menaiki satu penerbangan milik sebuah syarikat penerbangan tempatan dari London ke Kuala Lumpur yang mana dia adalah kru kabin penerbangan terbabit.

“Ujian lanjut mendapati wang tunai berkenaan mempunyai kesan dadah jenis kokain dan seterusnya suspek ditahan kerana terbabit kegiatan pengubahan wang haram,” kata kenyataan itu.

Ketika disoal siasat oleh NCA, katanya suspek mendakwa membawa wang itu ke London menerusi satu penerbangan sehari sebelum itu dan bercadang membelanjakan wang berkenaan untuk membeli beg tangan dan jam tangan di Harrods (sebuah gedung membeli belah terkenal di London).

Bagaimanapun dia mendakwa tidak sempat berbuat demikian kerana terlalu penat.

“Suspek juga gagal menjelaskan bagaimana dia memiliki dua resit belian daripada Primark (sebuah pusat membeli belah di London) pada hari sama dia mendakwa dia kepenatan selain kad pendaftaran pelanggan agensi pertukaran wang untuk rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Pengurus Operasi NCA di Heathrow, Ian Truby, berkata penjelasan diberikan oleh suspek tidak masuk akal dan sebagai kru kabin penerbangan yang sudah berkhidmat selama 15 tahun, dia sewajarnya tahu tentang peraturan membawa keluar wang tunai dari sesebuah negara.

“Jelas menunjukkan dia cuba menggunakan statusnya sebagai kru kabin penerbangan untuk menutup kegiatan jenayahnya.

“Kumpulan jenayah terancang akan menggunakan ‘keldai wang’ seperti suspek untuk memindahkan wang hasil kegiatan mereka yang mana mereka memainkan peranan penting dalam rangkaian jenayah itu.

“Justeru menjadi keutamaan kami untuk menangani kegiatan itu,” katanya.

Tambahnya, wang tunai yang dirampas akan dilucuthakkan mengikut Akta Pencegahan Jenayah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *