Kanak-kanak 2 tahun, pensyarah antara maut kemalangan

KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan adalah antara lima mangsa yang disahkan maut selepas bas membawa rombongan staf dan ahli keluarga warga Politeknik Sandakan terbalik di Kota Marudu, petang tadi.

Bayi terbabit, Abdul Fattah Sallehudin, yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kota Marudu, adalah anak kepada seorang pensyarah wanita yang parah dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata empat lagi mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Mereka termasuk tiga pensyarah wanita iaitu Annie Gideon, Suzannie Stephen Galaut, 39, dan Esther Michelle Gunben.

Seorang lagi mangsa ialah Khairul Zafari, iaitu ahli keluarga kepada kakitangan politeknik berkenaan.

Difahamkan, bas milik Politeknik itu membawa 41 penumpang termasuk pemandu.

Mohd Izaan berkata, ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Sandakan ke Kudat untuk program hari keluarga.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Marudu dan Hospital Ranau untuk rawatan. – Berita Harian

KEADAAN bas membawa rombongan kakitangan warga Politeknik Sandakan terbalik di Kota Marudu. – Foto IHSAN POLIS
KEADAAN bas membawa rombongan kakitangan warga Politeknik Sandakan terbalik di Kota Marudu. – Foto IHSAN POLIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *