Lebih 57,000 Pemastautin Tetap Dapat Kerakyatan

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 57,191 pemaustatin tetap telah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia sejak 2008 hingga 30 Sept lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berkata pertimbangan setiap permohonan turut mengambil kira aspek kemanusiaan serta diperincikan daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuk memenuhi tempoh mastautin pemegang kad MyPR.

Beliau menjawab soalan Datuk Wong Tien Fatt (PH-Sandakan) yang ingin tahu dasar pertukaran kad pengenalan merah ke biru kepada golongan yang berkelayakan.

Mohd Azis berkata pemohon perlu mempunyai pengukuhan bahasa Melayu yang diukur melalui tiga komponen ujian pengetahuan iaitu lisan, membaca dan menulis selain melalui tapisan keselamatan polis.

Bagi pemohon berumur lebih 60 tahun yang gagal tapisan keselamatan, beliau berkata mereka masih dipertimbangkan untuk dianugerahkan kewarganeraan sekiranya kesalahan dilakukan sudah melebihi 20 tahun dan bukan daripada kategori jenayah berat, profesional atau terancang.?

Mohd Azis turut menegaskan bahawa para pemohon yang mendapat kelulusan perlu hadir di JPN bagi mengangkat sumpah sebelum diberikan sijil kewarganegaraan untuk dibenarkan membuat kad pengenalan.

“Ada juga pemohon yang dapat surat kelulusan ini, mereka beranggapan secara automatik telah dianugerahkan kewarganeraan. Sebenarnya itu tidak benar, apa yang penting selepas dapat kelulusan ini, mereka masih perlu untuk hadir ke JPN bagi proses angkat sumpah dan seterusnya membuat pembayaran fi (fee) sebelum dikeluarkan dengan sijil kewarganegaraan,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *