Jangan Tunggu PRU Bantu Rakyat; Jika Tidak Ingin Kerajaan Ditukar

KOTA MARUDU: Permasalahan tanah dan beberapa isu lain yang menjadi kerisauan masyarakat di daerah ini dilihat akan mampu diselesaikan secara menyeluruh sekiranya ada perancangan terperinci dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata, Pegawai Daerah perlu mempunyai perancangan dalam memberi keutamaan terhadap masalah yang sering menjadi kebimbangan rakyat seperti masalah berkaitan tanah dan banjir.

Katanya, kerajaan menerusi Pejabat Daerah dan agensi yang lain perlu memainkan peranan untuk memastikan suara dan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Jangan tunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) baru mahu bertindak. Dikhuatiri pada masa itu ianya sudah terlambat kerana rakyat mungkin akan menukar kerajaan yang ada,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ketua Menteri bersama Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan peringkat daerah Kota Marudu, di sini pada Sabtu.

“Atas sebab itu pegawai daerah harus menyediakan perancangan dan menyenaraikan keutamaan yang perlu dilakukan untuk membangunkan daerah ini. Misalnya, untuk menangani masalah banjir, kerajaan akan melaksanakan projek tebatan banjir di daerah ini.

“Saya juga mahu pegawai daerah serta agensi kerajaan lain supaya menggerakkan usaha untuk melakukan mesyuarat mingguan bagi melihat dan seterusnya menyenaraikan masalah dihadapi rakyat di sini.

“Kemudian laporan itu harus diserahkan kepada saya bagi membolehkan pemantauan dan tindakan susulan dapat dilakukan.”

Beliau berkata, kerjasama antara agensi dibawah Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu bekerjasama dengan lebih rapat bagi memastikan pentadbiran kerajaan pada hari ini berjalan lancar.

“Saya tidak minta penjawat awam yang ada ini untuk menyertai Warisan (Parti Warisan Sabah); saya hanya meminta kamu supaya sama-sama membantu kerajaan hari ini untuk memajukan dan mentadbir Sabah dengan lebih baik,” ujarnya.

Presiden Warisan ini berkata, jika gagal membangunkan negeri ini selaras dengan kehendak rakyat, ia akan memberi kesan terhadap generasi akan datang.

“Tiada gunakan kita melihat Semenanjung Malaysia membangun sekiranya Sabah masih lagi miskin. Maka, sudah tiba masanya, kita bersuara untuk membantu rakyat.

“Ahli-ahli Parlimen dari Sabah mesti menyuarakan permasalah rakyat di Parlimen. Jangan sampai rakyat membuat ‘mini parlimen’ sendiri di kedai-kedai kopi tetapi kita tidak mahu mengambil tahu masalah rakyat. Apabila kita ambil tahu, sedar-sedar kita sudah ditukar,” katanya.

Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna ini berkata, penstrukturan semula perkhidmatan awam akan dilakukan agar sistem penyampaian dapat dipertingkatkan selaras dengan kehendak rakyat.

“Kita berkhidmat bukan hanya untuk berada di pejabat sahaja, kita perlu pastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi. Penting bagi pegawai kerajaan untuk mengetahui dan menentukan fokus dan hala tuju kita bagi memastikan pembangunan yang dirancang berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mahukan kekayaan sumber asli yang ada di Sabah digunakan secara maksimum menerusi perancangan yang teliti supaya pembangunan di negeri ini dapat diteruskan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi menyarankan penjawat awam di jabatan persekutuan mahupun negeri supaya sama-sama membantu merealisasikan agenda kerajaan untuk membangunkan Sabah.

“Penjawat awam harus memikul tanggungjawab yang diberi dengan melaksanakan segala tugas dengan penuh komited dan berdedikasi.

“Mungkin kita sudah rasa kita melaksanakan tugas dengan sebaiknya tetapi kita harus sedar jangkaan rakyat semakin tinggi. Kita mungkin tidak menyedari perkhidmatan yang diberikan belum memenuhi kehendak rakyat.

“Kita perlu bersedia untuk memperbaiki cara kerja kita agar kemajuan boleh dicapai. Kita harus bersikap terbuka dalam menerima teguran bagi membolehkan kita memperbaiki sistem penyampaian kita,” katanya.

Sumber : borneotoday.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *