Mohd Shafie akan hadir program ’Hari Bersama Ketua Menteri’ di Kota Marudu esok

KOTA KINABALU, 17 Nov – Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Francis Au, menafikan khabar angin kononnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan hadir pada program Hari Bersama Ketua Menteri di Kota Marudu esok.

Beliau menegaskan bahawa Mohd Shafie akan menghadiri program berkenaan sebagaimana yang dirancang.

Beliau yang begitu pasti bahawa khabar angin itu disebar oleh pihak pembangkang berkata, mereka tidak sepatutnya bertindak begitu kerana ia cuma menunjukkan mereka bagaikan sudah ketandusan modal untuk memburukkan kerajaan.

“Ini adalah tindakan terdesak puak-puak pembangkang untuk menghasut penduduk di Kota Marudu, agar mereka dinafikan peluang bertemu dengan Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Dengan berbuat demikian, penduduk miskin di Kota Marudu kehilangan peluang untuk bersemuka dengan Ketua Menteri agar mereka dapat meluahkan segala masalah dan rintihan yang tidak dipedulikan oleh wakil rakyat mereka,” katanya.

Katanya pihak penganjur juga menjemput Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan kedua-dua Anggota Dewan Undangan Negeri di kawasan itu untuk turut serta dalam program Hari Bersama Ketua Menteri berkenaan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *