Sembilan inisiatif tingkatkan keupayaan perkhidmatan awam Sabah

KOTA KINABALU, 15 Nov – Kerajaan negeri Sabah menggariskan sembilan inisiatif untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian berat dan sedang melaksanakan pelan penggantian yang sistematik untuk menyediakan pelapis atau pengganti kepada pegawai jawatan strategik yang bakal bersara, berpindah atau dinaikkan pangkat.

“Kerajaan negeri akan melaksanakan pemantapan struktur organisasi melalui penubuhan Bahagian Biasiswa dan Latihan dalam Perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), yang akan mengawal selia biasiswa dan latihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Jan 2019.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga menyasarkan peningkatan peratusan jawatan bagi kumpulan pengurusan dan profesional daripada enam peratus kepada 10 peratus iaitu 1,800 jawatan kepada 2,800 jawatan dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Beliau menjelaskan penambahan kapasiti perjawatan tersebut akan meningkatkan jumlah pengisian jawatan, seterusnya mengukuhkan sumber tenaga kerja supaya pelaksanaan tugas dan tanggungjawab setiap penjawat awam lebih berfokus dan teratur.

Mohd Shafie turut memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta untuk melaksanakan Program Latihan Pembangunan Eksekutif pada tahun depan bertujuan meningkatkan kemahiran, kompetensi dan keupayaan penjawat awam.

Kerajaan negeri juga akan menawarkan biasiswa kepada penjawat awam berprestasi tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan Kedoktoran di universiti terkemuka dunia.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan program kolaborasi dengan institut latihan terkemuka dengan menghantar pegawai kumpulan pengurusan dan profesional menghadiri program latihan jangka pendek di dalam dan luar negara.

Mengenai pegawai muda dalam perkhidmatan awam negeri, Mohd Shafie berkata satu program pembangunan pegawai muda dianjurkan oleh kerajaan negeri pada Julai lepas, yang mendedahkan pegawai muda kepada isu global yang mempengaruhi landskap perkhidmatan awam, reformasi dalam kerajaan negeri, dan peranan pegawai muda dalam perkhidmatan awam negeri.

Selain menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Bidang Keberhasilan Negeri yang memfokuskan kepada pengupayaan perkhidmatan awam negeri, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri turut meluluskan pelaksanaan model kompetensi untuk kumpulan pengurusan dan profesional pada 12 Sept lepas sebagai panduan memastikan pegawai berprestasi tinggi dan memenuhi kompetensi gred jawatan yang disandang.

“Bagi memastikan pelan penggantian pegawai kumpulan pengurusan dan profesional dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan negeri telah membuat keputusan menghentikan pelantikan semula selepas bersara penjawat awam yang mencapai umur bersara wajib 60 tahun bertujuan memberikan peluang kenaikan pangkat pegawai pelapis yang telah memenuhi semua kriteria dan kompetensi diperlukan,” katanya.

– BERNAMA

190