Sabah kaji ambil alih SESB

SHAFIE Apdal (empat dari kanan) menyaksikan penyampaian cek daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Ir. Melvin G. Disimond (tiga dari kiri) kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir (dua dari kanan) di Dewan Undangan Negeri Sabah. – NSTP/Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menjalankan kajian berhubung kewajaran mengambil alih syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebuah badan akan ditubuhkan merangkumi Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Jabatan Kerja Raya untuk melihat butiran SESB sebelum keputusan dapat dibuat.

“Saya bertemu dengan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin serta rombongannya bulan lalu dan mereka mencadangkan kerajaan negeri mengambil alih SESB.

“SESB mempunyai banyak liabiliti dan masalah, namun kerajaan negeri menyedari keperluan untuk meningkatkan keupayaan menarik pelabur ke negeri ini dengan memastikan bukan saja pekerja mencukupi, malah bekalan air dan elektrik yang konsisten,” katanya kepada media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau sendiri akan mengetuai kajian itu dan akan melihat statistik serta pilihan yang ada sebelum mengemukakan laporan tahun depan.

“Kita mahu ia menjadi keadaan menang-menang untuk kerajaan negeri dan Persekutuan serta Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Beliau menegaskan, perkara itu sama seperti isu pengurusan air di negeri ini yang memerlukan Kementerian Kewangan dan Peguam Negara mengkaji semula perjanjian konsesi air yang digambarkannya sebagai hanya menguntungkan ‘satu pihak’ dan tidak adil.

Sementara itu, kerajaan negeri berharap dapat menarik lebih banyak sektor swasta untuk membawa teknologi pengangkutan awam yang cekap termasuk bas dan sistem kereta api ringan (LRT).

“Kita memerlukan sektor swasta untuk menyokong kerana kerajaan negeri mempunyai bajet yang terhad,” katanya. – Berita Harian

172