Sabah sebagai wilayah: Jawatankuasa khas MA63 bincang pinda perlembagaan

KOTA KINABALU, 12 Nov – Jawatankuasa Khas untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan bermesyuarat bagi membincangkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengiktiraf Sabah sebagai sebuah wilayah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Beliau berkata perkara itu akan diperhalusi dalam mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu tidak lama lagi.

“Jawatankuasa khas itu dijangka mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat untuk mengenal pasti skop semakan dan isu berkaitan MA63.

“Tempoh masa diperuntukkan untuk kajian ini adalah selama enam bulan sahaja,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Solidariti-Tambunan) yang bertanyakan bilakah pengiktirafan Sabah sebagai wilayah akan direalisasikan.

Mohd Shafie turut memberitahu Sabah memerlukan satu sistem efisien bagi memperhalusi pelaksanaan kuasa yang akan diturunkan kepada negeri ini mengikut MA63.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *