Jeffrey bentang belanjawan alternatif, DUN Sabah kecoh

JEFFREY ketika Persidangan DUN Sabah Ke-15 di Bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu. – NSTP/Rakaman TV DUN Sabah

KOTA KINABALU: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan membentangkan rangka Belanjawan Alternatif 2019 Gabungan Bersatu Sabah (GBS) menyebabkan kekecohan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Belanjawan yang dibentangkan itu tidak dipersetujui Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman yang turut meminta Jeffrey menghentikan perbahasan atau berdepan tindakan dikeluarkan dari dewan persidangan.

Ketika giliran perbahasannya, Jeffrey menyatakan belanjawan negeri dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai kegagalan dan memungkiri janji manisfesto ketika Pilihan Raya Umum lalu.

Beliau turut melabelkan kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) -Pakatan Harapan (PH) sebagai gagal melaksanakan hak-hak Sabah dari segi kewangan dan hasil.

Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi GBS kemudian dibantah daripada terus membentangkan belanjawan alternatif berkenaan termasuk oleh Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) yang bangun meminta Speaker membuat keputusan sesi ini sepatutnya memberi fokus kepada bajet dibentangkan Ketua Menteri.

Bagaimanapun, Jeffrey berkeras sebelum Ahmad menggunakan Peraturan Mesyuarat 43(1) untuk menghentikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meneruskan ucapannya.

“Yang Berhormat boleh membuat kenyataan, mengkritik tetapi tidak boleh membentangkan bajet alternatif kerana peraturan termaktub seperti itu. Yang Berhormat boleh membuat kenyataan di akhbar tetapi bukan di sini. Oleh kerana ahli lain (dibimbangi keliru) membincangkan mengenai belanjawan alternatif. Tolong hentikan,” katanya.

Pertikaian antara Jeffrey dan Ahmad berlarutan hampir 15 minit dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GBS-Apas) juga cuba bangun membantah, namun ditolak Speaker DUN. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *