Shafie tekad bangunkan Sabah

SHAFIE bersalaman dengan penyokong selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah sah. – NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta semua pihak menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau kekal Ketua Menteri Sabah yang sah, sambil bertekad meneruskan usaha membangunkan negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang turut berada di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi mendengar secara dekat keputusan mahkamah, turut meminta semua pihak tidak mempersoalkan keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie.

“Apa yang penting ialah bekerja dan membantu rakyat miskin serta membawa pembangunan ke Sabah,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan penyokong selepas Mahkamah Tinggi menolak saman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sebentar tadi.

Dalam ucapannya, Mohd Shafie turut meminta rakyat Sabah supaya bersatu padu dan berharap keputusan mahkamah itu juga membolehkan usaha kerajaan negeri memajukan negeri ini tidak berdepan sebarang masalah.

Terdahulu, Mohd Shafie disambut sorakan daripada ratusan penyokongnya yang menunggu di pekarangan kompleks mahkamah sejak tengah hari tadi, sejurus keputusan diketahui.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu amat bermakna buat rakyat Sabah.

“Keputusan ini amat bermakna demi meneruskan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan seluruh warga Sabah. Terima kasih atas sokongan padu yang diberikan kepada Ketua Menteri kita yang sah hari ini,” katanya dipetik melalui laman Facebook beliau. – Berita Harian

209