Tun Mahathir Diberi Peluang Kedua Oleh Rakyat Untuk Selesaikan Masalah Sabah – STAR

KOTA KINABALU: Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Datuk Dr Jeffrey Kitingan berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan peluang kedua yang diberikan oleh rakyat sebagai pemimpin negara untuk membentuk semula Sabah ke landasan yang sepatutnya.

Katanya ia adalah salah satu perjuangan yang dibawa oleh STAR Sabah dalam mengembalikan hak-hak 20 perkara yang terdapat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Dr Jeffrey Kitingan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Perjuangan kita penuh dengan selok-belok tetapi kita tidak pernah kesal kerana kita belajar daripada perjalanan lepas yang mana pemimpin kita dahulu diberi pelbagai gelaran tetapi sekarang kita melihat pencapaian cabaran kita semakin hampir tercapai.

“Malahan Tun yang dulu yang pernah menjadikan saya sebagai tahanan selama hampir tiga tahun dan mengharamkan perbincangan atau suara-suara yang menimbulkan mahupun mempersoalkan MA63 dan perlembagaan.

“Dengan peluang kedua ini, kita berharap beliau menyelesaikan masalah antara Sabah dan kerajaan pusat termasuklah isu-isu mengenai hak-hak kita dalam Malaysia serta MA63,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Khas STAR Sabah di Dewan Sokid Villa hari ini.

Ketika beliau membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri baru-baru ini, Jeffrey berkata usaha tersebut sudah menampakkan beberapa perubahan berkenaan isu yang diperjuangkan itu.

“Sebagai contoh, kalau dahulu Tun menyatakan kepada saya bahawa Sabah sama seperti Perak dan hak-hak 20 perkara semua sementara sahaja.

“Namun, hari ini beliau mengatakan kepada saya, mana boleh kita samakan Sabah dengan Perlis, kerana Sabah, Sarawak dan Semenanjung (Persekutuan Tanah Melayu), merekalah yang menandatangani MA63 untuk membentuk gagasan Malaysia bukannya Perlis.

“Maka itu beliau mengatakan Sabah dan Sarawak adalah setaraf dengan Malaya,” jelasnya.

Beliau melihat sekurang-kurangnya niat untuk memperbetulkan isu tersebut sudah ada, namun ia terpulang kepada parti bagaimana untuk memastikan niat, tujuan serta matlamat tersebut tercapai.

“Kerana yang meminta adalah kita dan yang bersetuju adalah mereka (kerajaan persekutuan). Kita lihat mereka sudah buka jalan kepada kita.

“Oleh itu, kita perlu pastikan jalan tersebut kita masuk sehinggalah mencapai apa yang diidam-idamkan selama ini,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *