Polis Sabah tahan lelaki, rampas 4.227 kg dadah

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Pengawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Anis Abdullah (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh cina ‘Guan Yin Wang’ pada sidang media di IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 5 Nov – Polis Sabah menahan seorang lelaki dan merampas dadah dipercayai syabu seberat 4.227 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM200,000 dalam satu serbuan di kawasan Taman Teluk Likas, dekat sini, pada 31 Okt lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata lelaki warga tempatan berumur 35 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas risikan dan bertindak atas maklumat mengenai aktviti pengedaran dadah di kawasan itu.

Omar berkata polis ternampak suspek lelaki itu yang berada dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan kaki dan menjinjing satu beg plastik pada tangan kanannya dan kemudian duduk di kawasan taman berkenaan seperti sedang menunggu seseorang.

“Tidak lama selepas itu, polis menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan serta membuat pemeriksaan terhadapnya. Semasa pemeriksaan itu, polis menjumpai empat bungkusan plastik berisi bahan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Pemeriksaan lanjut polis mendapati berat kasar dadah itu lebih kurang 4.227 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000. Ini adalah rampasan dadah terbesar IPD Kota Kinabalu setakat ini,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis IPD KK ACP Habibi Majinji, di sini hari ini.

Omar berkata siasatan mendapati suspek mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang rakan di Semenanjung yang menghantar dadah itu melalui perkhidmatan kurier.

Suspek telah mengambil dadah dihantar menggunakan perkhidmatan kurier itu di satu tempat di Donggongon, Penampang sebelum datang ke Taman Teluk Likas untuk urusan jual beli dadah, katanya.

Beliau berkata suspek didapati negatif dadah hasil daripada ujian air kencing serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman sehingga 7 Nov ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Hampir 4.2 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM211,000 dan diletakkan dalam bungkusan teh cina ‘Guan Yin Wang’ berjaya dirampas polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *