Suspek pecah masuk bank diberkas

KOMPUTER riba bersama beg galas dipercayai dicuri suspek ketika memecah masuk pejabat Agrobank di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. – Foto ihsan polis

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini berjaya menyelesaikan kes pecah masuk pejabat Agrobank, di Jalan Gaya, di sini, dalam tempoh 24 jam selepas menahan suspek kes itu pada hari sama jenayah itu berlaku, kelmarin.

Suspek lelaki warga Filipina berumur 43 tahun itu berjaya ditahan pada jam 10.45 malam selepas polis menerima laporan daripada pegawai bank terbabit pada jam 6.05 pagi pada hari yang sama.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati suspek memecah masuk premis berkenaan pada jam 2.04 pagi hari yang sama dan mencuri sebuah komputer riba.

Beliau berkata, seorang pegawai bank terbabit menyedari pejabatnya dipecah masuk berdasarkan keadaan pejabat yang berselerak ketika masuk ke pejabat pagi kelmarin.

“Selepas membuat pemeriksaan, pegawai terbabit menyedari komputer riba yang disimpan dalam pejabat itu sudah hilang dipercayai dicuri.

“Hasil risikan dan siasatan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan suspek pada jam 10.45 malam pada hari sama di hadapan stesen minyak Kampung Air,” katanya.

Habibi berkata hasil siasatan lanjut, suspek membawa pihak polis ke sebuah pondok pengawal keselamatan di Asia City dan merampas barangan yang dilaporkan hilang.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk sebuah komputer riba jenama Sony Vaio berwarna hitam, beg galas warna biru dan sehelai baju T yang disyaki digunakan ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan mencuri dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda jika disabitkan kesalahan.

Sumber : Berita Harian

PAKAIAN yang dipercayai digunakan suspek ketika memecah masuk pejabat Agrobank di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. – Foto ihsan polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *