Pensyarah Kolej Vokasional Keningau juara SEAMEO-Australia Education Links 2018

KOTA KINABALU, 26 Okt – Pensyarah Kolej Vokasional Keningau, Sirhajwan Idek, muncul juara dalam pertandingan SEAMEO-Australia Education Links Award 2018 melalui cadangan projeknya bertajuk “Think Tales of the Borneo: Creating Story Thinkers in ESL Classroom”.

Dengan kemenangan itu, Sirhajwan yang berasal dari Kota Belud, memenangi A$10,000 bagi meneruskan pelaksanaan projeknya yang sedang berjalan itu.

Pertandingan itu terbuka kepada warga pendidik di Asia Tenggara.

Ketika dihubungi Bernama, Sirhajwan berkata kemenangannya itu dimaklumkan kepadanya semalam oleh penganjur pertandingan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) dan pertandingan itu dihakimi oleh wakil daripada kerajaan Australia, SEAMEO dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Projek ini bertemakan cerita-cerita legenda dan mitos kaum-kaum di Sabah seperti Bajau, Dusun dan Iranun di mana cerita sebegini digunakan untuk menggalakkan para pelajar dalam kelas Bahasa Inggeris untuk berkongsi cerita berkaitan budaya dan asal usul mereka,” katanya.

Sirhajwan daripada etnik Bajau, berkata beliau telah menulis beberapa cerita etnik Bajau untuk projeknya itu termasuk ‘Bele Bele’ (‘orang orang’), ‘Kanang and the Serimpak’, ‘Soto the magical sapi’, ‘Bintek the Drover dan ‘Idek and the Segai’.

Katanya beliau menulis cerita berkenaan  berdasarkan kisah komuniti Bajau di Kota Belud, tidak terkecuali keluarganya, serta pengalamannya semasa kecil ketika membesar di Kampung Taun Gusi dan Kampung Labuan, Kota Belud.

Katanya  beliau akan ke Bangkok, Thailand pada 29 Nov ini untuk menerima anugerah kewangan berkenaan dan ke Australia pada tahun hadapan untuk menjalankan kajian selanjutnya berkenaan projeknya itu.

Sementara itu, Sirhajwan berkata projek berkenaan pernah memenangi pingat emas pada Gold Invention, Innovation Contest 2018 di Korea Selatan, juara inovasi terbaik keseluruhan di Cabaran Inovasi Inklusif 2017 (Sabah) dan 10 finalis terbaik bagi Commonwealth Class Story Writing 2016.

Ini adalah pencapaian Sirhajwan yang ke-13 dalam pertandingan dan anugerah antarabangsa. Beliau pernah memenangi anugerah di Paris (Perancis), Rome (Itali), Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Norwich (UK), Brighton (UK), Seoul (Korea Selatan) dan Bali (Indonesia) termasuklah pemenang Community Award for Citizenship 2018 (Dubai) dan Innovation & Entrepreneurship Excellence in Teaching Award 2017.

— BERNAMA

102