Kohler lebarkan sayap ke Sabah

SETIAUSAHA Politik Ketua Menteri di bawah Kementerian Kewangan negeri, Joanna Sue Henley Rampas bersama Pengurus Besar dan Pengarah Komersial Asia Tenggara, Kohler Asia Pasific Limited, Adam Quek hadir pada majlis pembukaan bilik pameran pertama Kohler di Pusat Komersial Kepayan Perdana di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kohler, pengeluar jenama bilik mandi mewah dan dapur kini membuka pasaran di Sabah menerusi pelancaran bilik pameran pertama di sini.

Pengurus Besar dan Pengarah Komersial Asia Tenggara, Kohler Asia Pasific Limited, Adam Quek, berkata syarikat itu yang bertapak di Malaysia sejak 1972, melihat Sabah sebagai potensi besar untuk pasarannya susulan perkembangan pesat negeri ini.

“Kami melihat banyak peluang, terutama di Sabah yang mana ada banyak kemudahan serta projek pembinaan kediaman, selain kehadiran pelancong yang tinggi.

“Ini petanda baik dari segi peluang dan kami komited untuk berada dalam jangka panjang (di Sabah),” katanya kepada NSTP selepas pembukaan bilik pameran pertama Kohler di Pusat Komersial Kepayan Perdana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri di bawah Kementerian Kewangan negeri, Joanna Sue Henley Rampas dan Pengarah YHY Engineering (pengedar sah Kohler) Marcus Yek.

Dengan pembukaan bilik pameran terbaharu itu, Kohler kini memiliki tujuh bilik pameran dengan dua di Sarawak (Sibu dan Kuching) dan empat di Lembah Klang.

Di Malaysia timur, Kohler membuka bilik pameran pertamanya di Sibu pada tahun 2009 disusuli dengan pembukaan kedua di Kuching lima tahun lalu.

Quek berkata, Kohler juga terbabit dalam beberapa projek hotel dan pembangunan kediaman di Kota Kinabalu dengan YHY Engineering bertanggungjawab memantau projek serta bekerjasama rapat dengan pemaju.

Sementara itu, Joanna dalam ucapannya berkata, permintaan terhadap produk berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan penduduk bandar di negeri ini terus meningkat sejajar kerancakan pembangunannya.

“Kerajaan negeri menyokong usaha perniagaan seperti ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Sektor pelancongan negeri juga berkembang dengan pendapatan RM2.5 bilion pada suku pertama tahun ini.

“Pelancongan adalah komponen penting bagi Sabah dan ramai pelancong asing menjadikan Sabah sebagai rumah kedua mereka. Saya yakin permintaan produk berkualiti dalam peralatan rumah dan penjagaan kesihatan antara aspek yang penting,” katanya.

Sumber :    Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *