Perkongsian hasil dengan Sabah, Sarawak bergantung kedudukan ekonomi

KUALA LUMPUR: Perkongsian hasil kerajaan untuk Sabah dan Sarawak bergantung kepada kedudukan kewangan serta ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ketika ini kedudukan fiskal kewangan tidak mengizinkan kerajaan melaksanakan perkongsian hasil itu.

Katanya, ini kerana kedudukan ekonomi sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran menunjukkan ia belum dapat dilaksanakan.

“Suka atau tidak, rela atau tidak, skandal besar yang berlaku ini sememangnya sudah menjejaskan kedudukan ekonomi.

“Kenyataan dan hakikat ini adalah berdasar angka dan fakta, kita kena menghadapinya serta berusaha secara bersama mengatasinya,” katanya menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH-PKR Subang) mengenai tempoh masa pelaksanaan perkongsian hasil kerajaan dengan Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, menjawab soalan asal Wong Chen mengenai perkongsian hasil itu, Guan Eng berkata Kerajaan Persekutuan akan sentiasa cuba memenuhi tuntutan dan hak kerajaan negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya perkara itu tertakluk kepada kemampuan dan kedudukan hasil kerajaan, malah turut dijelaskan oleh Perdana Menteri ketika mempengerusikan Majlis Kewangan Negara pada 7 Jun lalu.

“Untuk itu, selaras dengan Teras 4 Buku Harapan, mesyuarat Kabinet pada 5 September 2018 sudah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 dan mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan hak dan autonomi Sabah serta Sarawak.

“Jawatankuasa Khas Kabinet ini dilaksanakan melalui tiga peringkat iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja yang masing-masing dipengerusikan Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dan dianggotai oleh pakar bidang tertentu, ” katanya.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa itu akan memberi keutamaan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan seperti yang diperuntukkan di sisi undang-undang negara demi menegakkan kedaulatan undang-undang negara.

Sumber : Berita Harian

225