KDN bangun sistem maklumat warga asing

KUALA LUMPUR 06 OGOS 2018. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman ketika sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri kini sedang membangunkan satu sistem pangkalan maklumat mengenai kemasukan warga asing ke negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata dengan adanya sistem itu, semua agensi di bawah kementerian dapat memperoleh maklumat dengan cepat dalam memproses kemasukan warga asing termasuk berkaitan isu permit kerja dan tapisan keselamatan.

Katanya, beliau tidak menafikan berlaku kelewatan dalam proses kelulusan permit masuk untuk pekerja asing kerana tiada pangkalan maklumat seumpama itu ketika ini.

“Apabila ada sistem maklumat itu maka agensi di bawah kementerian lebih cepat untuk proses permohonan malah tapisan keselamatan juga dapat disegerakan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-UMNO Kuala Krau) mengenai kelewatan proses bayaran levi pekerja asing.

Terdahulu menjawab soalan asal Chan Ming Kai (PH-PKR Alor Setar) mengenai jumlah permohonan permit masuk mengikut negeri, Mohd Aziz berkata, sebanyak 27,127 permohonan permit masuk yang diterima Jabatan Imigresen direkodkan sehingga 5 Oktober lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 10,145 permohonan sedang diproses.

“Selangor mencatatkan jumlah permohonan tertinggi iaitu 2,527 diikuti Johor (1,757), Kuala Lumpur (1,568) dan Perak (1,247).

“Pahang pula merekodkan sebanyak 568 permohonan, diikuti Kelantan (497); Kedah (478), Pulau Pinang (401); Negeri Sembilan (360), Terengganu (341); Labuan (107); Melaka (95); Perlis (65); Putrajaya (55); Sarawak (52) dan Sabah (27).

“Berdasarkan permit masuk sedia ada, warga asing yang menetap di Malaysia untuk tempoh melebihi lima tahun secara berterusan adalah layak untuk memohon permit masuk,” katanya.

Beliau menjelaskan kelulusan permit masuk itu melayakkan seseorang itu mendapatkan taraf sebagai pemastautin tetap.

Mohd Azis berkata permit masuk adalah satu permit yang dikeluarkan Jabatan Imigresen mengikut Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63 bagi membolehkan seseorang warga asing untuk tinggal di Malaysia selepas tamat satu tempoh pas yang di pegang sebelum ini.

Sumber : Berita Harian

77