Lelaki maut motosikal ditunggang hilang kawalan

GAMBAR IHSAN PEMBACA

LAHAD DATU, 20 Okt – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar sebuah pacuan empat roda Toyota Vigo di Kilometer 36 Jalan Lahad Datu-Tungku dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5.25 petang itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata lelaki berusia 45 tahun tersebut cedera parah pada lutut kanan, patah kaki kiri dan patah tangan kanan.

“Siasatan awal mendapati motosikal itu yang datang dari arah Tungku telah hilang kawalan ketika sampai di jalan selekoh garisan berkembar sebelum masuk ke lorong bertentangan dan terlanggar Toyota Vigo dari arah Lahad Datu.

“Rempuhan itu menyebabkan penunggang motosikal tercampak di tengah jalan sementara motosikal terseret dan terhumban ke hadapan kenderaan Toyota Vigo,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Nasri berkata pemandu wanita berumur 26 tahun serta dua penumpang lelaki dalam kenderaan itu berumur 54 dan 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *