UPKO ulangi gesaan tarik balik IC Sabah

KOTA KINABALU,  19 Okt – Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berikrar akan terus membuat desakan agar kerajaan menarik balik kad pengenalan yang dikeluarkan di Sabah dalam usaha memastikan perangkaan kependudukan negeri yang sahih dan tepat.

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata hanya kaedah itu dapat membersihkan pendatang tanpa izin yang memiliki dokumen tersebut secara tidak sah.

“Kita telah melihat data perangkaan kependudukan di Sabah dalam banci yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali dan data itu menunjukkan pertumbuhan penduduk yang sangat luar biasa berbanding dengan jumlah kelahiran.

“Data yang dikeluarkan dalam perangkaan kependudukan itu meragukan dan ia telah dimanipulasikan. Kita di UPKO tidak dapat menerima data perangkaan kependudukan berkenaan dan kita akan teruskan seruan untuk menarik balik IC di negeri dan dikeluarkan semula mengikut perlembagaan dan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO di sini hari ini.

Beliau berkata UPKO juga telah mengusulkan perkara sama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjumpaan baru-baru ini selain berkongsi tentang penemuan kajian yang dilaksanakan oleh UPKO.

“Dalam kajian komprehensif yang dilaksanakan di semua petempatan di seluruh Sabah itu kita mendapati 80 peratus pendatang asing tanpa izin mendapatkan IC secara rasuah dan selebihnya 20 peratus daripada mereka telah didatangi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *