12 polis, pesara dibebaskan

PEGAWAI SPRM membawa sebahagian daripada 11 anggota polis yang ditahan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan meminta dan menerima rasuah 

KOTA KINABALU: Seramai 12 anggota dan pegawai polis termasuk seorang pesara yang direman bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima suapan daripada pengedar dan penagih dadah sejak 2014, dibebaskan di Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi.

Kes itu didengar dalam kamar di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Pegawai Pendakwa, Mohd Faliq Basiruddin.

Semua 11 anggota dan pegawai polis itu dibebaskan dengan jaminan polis kecuali pesara dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan dan mereka juga diminta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis.

Pada 9 Oktober lalu, SPRM menahan 10 anggota dan pegawai polis, selain seorang yang sudah bersara bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Lapan daripada mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, termasuk seorang yang sudah bersara, selain masing-masing seorang dari IPD Beluran, IPD Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Susulan penahanan itu, pada 13 Oktober lalu, seorang koperal ditahan bagi membantu siasatan berkaitan sama.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *