Jabatan Imigresen Perlu Jelaskan Kepada Kabinet Negeri Isu IMM13

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendesak Jabatan Imigresen untuk menjelaskan keadaan sebenar mengenai status pemegang IMM13 kepada Kabinet negeri Sabah.

Madius yang juga presiden Upko berkata dua kenyataan berbeza dikeluarkan oleh Pengarah Imigresen Sabah dan Ketua Pengarah Imigresen tentang keadaan sesak di Wisma Dang Bandang minggu lalu amat mengelirukan.

“Adakah ini bermakna bahawa (dalam hal ini) Kuala Lumpur boleh bertindak di atas Kerajaan Negeri Sabah ataupun keputusan telah dibuat di peringkat Persekutuan untuk menjalankan banci anak-anak IMM13 dan kami tidak tahu mengenainya?”, soal Madius.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa di bawah MA63, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa untuk mengawal imigresen negeri masing-masing.

“Malah, rakyat Malaysia dari Semenanjung memerlukan permit jika mereka mahu bekerja atau belajar di Sarawak atau Sabah.

“Dalam konteks ini, jika Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menjalankan bancian terhadap anak-anak pelarian di Sabah, Kabinet Negeri perlu tahu.

“Malah, ini memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri sebelum ia dijalankan,” katanya.

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk membuka semula pendaftaran anak-anak pemegang IMM13 seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Imigresen Negeri.

“Dokumen IMM13 diperbaharui setiap tahun (namun semua telah dibekukan sejak 2013), jadi sekiranya mereka tidak lagi memegang dokumen IMM13, kenapa mereka masih berada di Sabah? Mereka sepatutnya dihantar pulang,” katanya.

Madius mengulas mengenai penjelasan oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dua hari lalu tentang isu ratusan pelarian Filipina membanjiri Wisma Dang Bandang adalah disebabkan jabatan sedang membuat bancian anak-anak pemegang IMM13.

Sebelum itu, Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman pula dilaporkan mengatakan bahawa jabatan telah membuka semula pendaftaran anak-anak pemegang IMM13 yang telah dibekukan pada tahun 2013 maka itu terdapat pertambahan mendadak berurusan dengan pejabat Unit Khas Imigresen Sabah

Pada keesokan harinya, Musa mengumumkan pendaftaran itu dihentikan dengan serta-merta selepas gambar dan klip video lobi Wisma Dang Bandang sesak  dengan pemegang IMM13 menjadi tular dan menerima reaksi negatif daripada orang ramai dan pemimpin negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 13 Okt memberitahu bahawa beliau telah memberi arahan berhenti itu setelah mendengarnya semasa sedang melakukan lawatan kerja ke Kuching.

Beliau berkata ini adalah disebabkan hal itu berada diluar pengetahuan Kabinet negeri.

Pada 15 Oktober, Mustafar memberitahu satu sidang akhbar yang turut dihadiri Musa bahawa Jabatan Imigresen sebenarnya menjalankan banci mengenai anak-anak pelarian IMM13 di Sabah.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *