Separuh Akhir Piala Malaysia : Perak belasah Sabah 5-0

Pemain Perak, Amirul Azhan Aznan ( kiri) diasak pemain Sabah Hamran Peter (kanan) ketika dalam perlawanan Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak. Foto oleh KAMAL BASIR WAHAB

IPOH – Perak hanya tinggal selangkah lagi ke pentas final Piala Malaysia selepas berpesta gol ke atas Sabah 5-0 pada saingan peringkat separuh akhir pertama di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Anak-anak buah Mehmed Durakovic sudah memberi amaran awal pada minit ke-11 apabila Gilmar Jose Da Silva melakukan rembatan kencang namun, percubaan itu berjaya ditangkap penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohin.

Skuad The Bos Gaurus berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-16 apabila pemain tengah, Muhammad Firdaus Saiyadi memperdaya dua pertahanan Sabah dan melorongkan bola kepada Nor Hakim Hassan sebelum dia melakukan rembatan kencang ke arah pintu gol lawan.

Perak seakan semakin bernafsu untuk menambah jaringan apabila percubaan demi percubaan dilakukan ke arah gawang Sabah.

Pada minit ke-25, Leandro Dos Santos mempunyai peluang untuk mencatat nama sebagai penjaring gol namun, tendangan kencangnya hanya melewati tiang kanan gol Sabah.

Perak bagaimanapun berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-42 menerusi jaringan Wander Luiz.

Gol terhasil apabila Nor Hakim bertukar hantaran dengan Wander Luiz sebelum pemain import dari Brazil itu melakukan rembatan kencang ke gawang gol Sabah.

Rentak permainan seimbang pada awal babak kedua apabila kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali-arus ke gawang lawan masing-masing.

Bagaimanapun, Perak sekali lagi berjaya menjarakkan kedudukan apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-73 menerusi jaringan Gilmar Jose.

Gilmar Jose bijak mengambil peluang selepas menerima hantaran daripada Nor Hakim Hassan apabila berlaku kekecohan di hadapan gol lawan sebelum melakukan rembatan kencang yang menerjah gawang Sabah.

Pemain Perak, Wander Luiz Bitencourt Junior (tengah) meraikan jaringan golnya ketika menentang Sabah dalam perlawanan Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak. Foto oleh KAMAL BASIR WAHAB

Nor Hakim memperoleh kredit apabila dia sekali lagi melakukan bantuan gol kepada Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-75.

Jaringan terhasil apabila Nor Hakim melakukan hantaran lintang sebelum Muhammad Firdaus menanduk bola terus menuju ke gawang skuad Badak.

Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90 selepas Nazirul Naim dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan gantian Sabah, Leopold Alfonso Otong.

Leandro berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menjadikan kedudukan 5-0 sebelum pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin terus meniup wisel penamat perlawanan.

Perak akan berkunjung ke Stadium Likas, Sabah untuk saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 21 Oktober depan dengan membawa bekalan selesa sebelum melangkah ke pusingan akhir piala berprestij itu

Sumber – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *