IPOH: Jurulatih Sabah, Jelius Ating tidak menolak kemungkinan isu gaji tertunggak antara punca anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar sehingga tewas 0-5 kepada Perak di Stadium Perak, malam semalam.
“Pemain Sabah tidak menunjukkan karakter sebenar seperti dalam perlawanan sebelum ini hingga mampu mara ke separuh akhir. Kami pernah bertemu Selangor dan juga Pahang dan berjaya menumpaskan mereka tetapi malam ini (semalam) mereka tidak menunjukkan persembahan sebenar,” katanya.
Jurulatih itu berkata, dia sudah berusaha memberi motivasi kepada anak buahnya sebelum perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Perak itu. Bagaimanapun, Jelius berkata tindakannya itu nyata tidak berhasil kerana mereka tenggelam dalam arus perlawanan.
“Mungkin (isu gaji) ada kesan. Mereka manusia dan tidak dapat lari daripada memikirkan masalah dihadapi,” katanya
Beliau yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu sedar skuad Badak mempunyai tugas amat getir apabila turun dalam perlawanan kedua pada 21 Oktober ini biarpun bermain di gelanggang sendiri.
“Bukan senang hendak atasi lima gol . Tugas mustahil kerana Perak ternyata pasukan hebat. Jika tumpas satu dua gol mungkin ada peluang lagi.
“Apapun kami akan lakukan yang terbaik demi maruah dan imej Sabah dalam pertembungan di Stadium Likas nanti, ” katanya.
Sumber : Berita Harian