Main gitar, menyanyi sebagai penghargaan

YANG di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bermain gitar dan menyanyi sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-65 beliau, di Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu, pagi tadi. – Foto Penerangan

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membuat persembahan khas dengan bermain gitar dan menyanyi sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang hadir memeriahkan acara berbasikal sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-65 beliau, di Taman Awam Teluk Likas, di sini, pagi tadi.

Juhar yang menggunakan gitar elektrik jenama Fender, memainkan lagu `Senandung Malam’ dan `Cha Cha’ sebelum menyanyikan sendiri lagu yang pernah dipopularkan penyanyi Elvis Presley, `One Night’.

Lebih meriah lagi apabila orang ramai yang hadir pada majlis itu turut menari ketika Juhar membuat persembahan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur acara berkenaan, Datuk Jaujan Sambakong, berkata persembahan itu Juhar bukan sebahagian daripada pengisian pada program berkenaan.

“Seperti yang dikatakannya di atas pentas, ia adalah penghargaan yang ikhlas daripada beliau kepada orang ramai.

“Acara ini amat meriah dengan kehadiran lebih 3,000 orang,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan berkenaan.

Jaujan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, acara berkenaan turut menerima penyertaan daripada rakyat Brunei yang datang ke negeri ini.

Acara meriah yang diadakan seawal jam 7 pagi itu disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib, menteri Kabinet negeri serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Ribuan orang yang hadir berpeluang berbasikal bersama Juhar, Mohd Shafie dan pemimpin negeri yang lain di sepanjang pantai taman awam berkenaan.

Pada acara itu, Juhar turut melepaskan sebanyak 65 ekor burung merpati di kawasan pantai.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *