Hampir 3,000 sertai berbasikal bersama TYT Sabah

FOTO : PENERANGAN

KOTA KINABALU, 7 Okt – Hampir 3,000 peserta menyertai acara “Berbasikal Bersama TYT” sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Taman Awam Teluk Likas, di sini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata sambutan diluar jangkaan malah turut disertai peserta daripada Brunei Darussalam.

“Peserta yang hadir lebih daripada yang kita jangkakan malah sambutan sangat memuaskan… terima kasih kepada rakyat Sabah khususnya yang berada di sekitar Kota Kinabalu.

“Tahun depan kita akan meriahkan lagi dan berharap akan ada penyertaan daripada seluruh Sabah,” katanya kepada pemberita selepas acara itu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Jadi Rasmi TYT itu turut mengalu-alukan sebarang cadangan agar acara berkenaan akan lebih meriah dan santai pada tahun depan.

Acara berbasikal sejauh tiga kilometer itu bermula pada jam 7 pagi turut disertai Toh Puan Norlidah R. M Jasni isteri Yang Dipertua Negeri, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan menteri kabinet lain.

Pada acara itu Juhar turut berkenaan mempamerkan bakat dengan menyampaikan sebuah lagu berjudul “One Night” oleh Elvis Presley dan memainkan lagu Cha-cha serta Senandung Malam menggunakan gitar fender.

Bagi Lim Hong Yi, 20, pelajar Kejuruteraan Awam daripada universiti tempatan ketika ditemui Bernama amat teruja apabila buat pertama kali dapat menyertai acara berkenaan.

Pelajar tahun pertama berasal dari Perak itu berkata acara itu memberi peluang kepada mereka untuk mendekati dan mengenali pemimpin di negeri ini dengan lebih dekat.

“Saya tidak pernah menyertai mana-mana acara berbasikal seperti ini, hari ini saya sangat gembira kerana berpeluang dapat menunggang basikal di sini,” katanya.

Bagi Nurashiqien Shafiqah Jimmy, 26, penjawat awam juga turut teruja apabila pertama kali menyertai aktiviti berbasikal seumpama itu.

Katanya aktiviti dihujung minggu itu selain dapat menyihatkan badan, ia juga mampu mengurangkan tekanan di tempat kerja.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *