‘Sang bedal’ masuk perangkap

GAMBAR IHSAN PEMBACA

SEEKOR buaya betina berukuran tiga meter panjang yang sebelum ini kerap dilihat di sungai Kampung Bunga, Tenghilan di Tuaran, ditangkap, hari ini.

Ia selepas reptilia itu memakan umpan seekor ayam pada mata kail pada jerat dipasang penduduk.

Penduduk kemudian menyerahkan buaya berkenaan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Penduduk, Sulaiman Sipang, 56, berkata, reptilia itu dilihat sejak beberapa tahun lalu dan semakin kerap kelihatan, sejak hujung tahun lalu.

“Sudah beberapa kali usaha dijalankan untuk menangkap buaya itu tetapi tidak berjaya dan ia menyebabkan nelayan di sini sukar menangkap hidupan sungai.

“Kadangkala penduduk melihatnya di halaman rumah menyebabkan kami tidak berani keluar malam,” katanya ketika ditemui NSTP.

Sulaiman berkata, penduduk masih risau dan dalam keadaan berjaga-jaga kerana tidak mustahil buaya lain akan muncul.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 11.47 pagi, sepasukan anggota dihantar ke lokasi terbabit.

“Sebaik tiba, buaya dianggarkan seberat 50 kilogram itu didapati dalam keadaan terikat.

“Anggota APM mengikatnya kembali menggunakan tali khas sebelum dimasukkan ke dalam sangkar besi.”

“Operasi mengambil masa hampir sejam, manakala buaya itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya.

Sumber :  Harian Metro

GAMBAR IHSAN PEMBACA
GAMBAR IHSAN PEMBACA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *