Ketua Menteri Sabah zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mazlan

KOTA KINABALU, 5 Okt – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mazlan Omarbaki yang terkorban bersama lima rakan lain ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat di Selangor, Rabu lalu.

Dalam kenyataan mewakili kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata beliau turut berdukacita dengan tragedi yang berlaku di Taman Putra Perdana, Puchong dan berharap keluarga Allahyarham tetap tabah  meskipun melalui dugaan amat berat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga keluarga beliau tabah menerima ujian ini,” katanya.

Ucapan takziah beliau disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sri Tanjung, Koo Hung Eow ketika melawat Asmah Abdalis iaitu ibu kepada Allahyarham Mazlan dan keluarganya di Kampung Tinagat hari ini.

Turut bersama dengan Koo pada lawatan itu ialah Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau.

Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke Tawau petang Khamis sebelum dibawa oleh pasukan bomba Tawau ke kampung halamannya di Kampung Tinagat dan selamat disemadikan di tanah perkuburan berhampiran.

Sumber -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *