‘Kalau UMNO ada hak, kami pun ada hak’

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman.

KOTA KINABALU: Setiap bekas wakil rakyat UMNO yang keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian dan bukan sengaja mahu mengkhianati parti.

Sambil mengakui UMNO mempunyai hak untuk mengambil tindakan termasuk mengemukakan saman terhadap bekas wakil rakyat yang keluar parti itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata beliau juga ada hak untuk mempertahankan diri.

“Itu hak parti (saman) jika mereka (UMNO) fikir ada `locus standi’. Bagaimanapun, saya juga ada alasan tersendiri… ini kerana bukan semua (wakil rakyat) yang keluar parti sebab khianat, tetapi mungkin ada alasan lain.

“Ia mungkin disebabkan tiada kerjasama dalam kalangan parti itu sendiri termasuk di peringkat bahagian. Apabila tiada kerjasama dengan kepemimpinan peringkat bahagian, kita seolah-olah jadi pembangkang dalam parti sendiri,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Saddi mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi ADUN Bebas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pada PRU-14 lalu, Saddi yang bertanding atas tiket BN mempertahankan kerusi DUN Sukau dengan majoriti 1,628 undi selepas memperoleh 4,660 undi mengalahkan tiga calon lain.

Mengulas lanjut, Saddi berkata, setakat ini beliau belum menerima apa-apa writ saman daripada UMNO sejak keluar parti itu pada 1 Ogos lalu.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 itu berkata, UMNO akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO akan menuntut bayaran balik yang membabitkan kos dan pihak berkenaan juga perlu mengosongkan kerusi dimenangi atas tiket UMNO dan BN pada PRU-14 lalu.

Sementara itu, ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar, berkata setakat ini beliau belum menerima writ saman daripada UMNO kerana keluar daripada parti itu pada Mei lalu.

Jamawi adalah antara enam ADUN BN yang meninggalkan parti itu selepas PRU-14 selain Datuk Abdul Muis Pichu (Sebatik); Datuk Hamisah Samat (Tanjong Batu) dan Osman Jamal (Balung) daripada UMNO manakala UPKO ialah Ewon Benedick (Kedamaian) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *