Tahan lapar tiga hari terperangkap

Fitri ketika diselamatkan daripada runtuhan Hotel Roa Roa di Palu. – Tribunsnews.com

PALU: Selama tiga hari, Fitri Leonica terpaksa menahan lapar dan kehausan selepas terperangkap dalam sebuah bilik di Hotel Roa Roa yang runtuh akibat gempa bumi, Jumaat lalu.

Anggota penyelamat menemui Fitri, 25, bersama mayat suaminya dalam sisa runtuhan bilik 209 sebelum diselamatkan, pagi semalam.

Wanita yang berasal dari Lampung itu ditemui selepas anggota penyelamat mendengar suara wanita itu menjerit minta air dan makanan.

Tribunnews.com melaporkan, Fitri menangis ketika dikeluarkan dari runtuhan bangunan dan kesedihannya bertambah apabila dimaklumkan suaminya yang turut terperangkap di bilik yang sama sudah meninggal dunia.

Anggota penyelamat menggunakan kudrat untuk mengeluarkan Fitri tetapi mayat suami wanita itu masih belum dapat dibawa keluar kerana ketiadaan jentera berat.

Fitri yang mengalami luka pada tangan dan kaki segera dibawa ke hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

Wanita itu adalah mangsa ketujuh yang ditemui masih hidup dalam runtuhan bangunan Hotel Roa Roa.

Menurut laporan, terdapat berpuluh-puluh pengunjung yang masih terperangkap dalam hotel berkenaan yang runtuh dalam gempa bumi berkekuatan 7.7 magnitud.

Anggota penyelamat berdepan kesukaran akibat terpaksa menggunakan peralatan tangan untuk mencari mangsa yang terperangkap kerana ketiadaan jentera berat.

Sumber – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *