
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika berada di Sungai Tagupi Darat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 12 tahun dipercayai diserang reptilia berkenaan ketika berada di kawasan sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 pada jam 12.06 tengah hari.
Katanya, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 140 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Bagaimanapun, ketika pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi, pihak polis telah terlebih dahulu berjaya menemukan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan kecederaan pada bahagian kaki kiri dan pinggang belakang yang dipercayai akibat serangan buaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumsoa berkata, berikutan mangsa telah ditemukan, operasi ditamatkan sebaik pasukan memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah