Padah ‘double park’

RAKAMAN video menunjukkan lelaki memecahkan cermin sebuah Toyota Harrier kerana dipercayai menghalang laluan. – Ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Rakaman video menunjukkan lelaki memecahkan cermin sebuah Toyota Harrier kerana dipercayai menghalang laluan dengan meletakkan kenderaannya secara ‘double park’ menjadi viral di laman sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku di Lintas Sqaure di sini, malam tadi, apabila seorang lelaki dipercayai pemilik kenderaan Toyota Land Cruiser berbuat demikian selepas kenderaannya tidak dapat keluar dari petak letak kereta, berikutan dihalang oleh Toyota Harrier terbabit.

Berdasarkan rakaman berdurasi 1 minit 53 saat itu, lelaki berusia lingkungan 50-an terbabit memecahkan cermin sebelah pemandu Toyota Harrier sebelum dipercayai menurunkan brek tangan dan menolak kenderaan itu bersama beberapa lelaki lain.

Kenderaan Toyota Land Cruiser roda itu kemudian meninggalkan lokasi berkenaan, namun dalam rakaman itu menunjukkan pemilik Toyota Harrier muncul di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata setakat pagi ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, polis menyedari mengenai rakaman berkenaan dan akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti sama ada kejadian itu berlaku di daerah ini.

“Sekiranya benar kejadian itu berlaku, polis akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana atau mungkin Seksyen 506 akta sama (menakutkan secara jenayah).

“Bagaimanapun setakat ini polis belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Sumber –  Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *