Mangsa bencana di Palu mencuri untuk terus bertahan

PALU: Mangsa gempa dan tsunami di Sulawesi terpaksa buat apa sahaja untuk terus hidup termasuk mencuri barang keperluan.

Ia berlaku semata-mata kerana desakan hidup dan pihak berkuasa setakat ini sekadar meminta penduduk bersabar dan tidak bertindak keterlaluan.

Begitu ramai yang berbaris panjang untuk menunggu giliran membeli minyak, ramai lagi berada di lapangan terbang untuk dibawa keluar manakala pasar raya dan kedai menjadi sasaran kerana penduduk mencari barangan keperluan harian terutama makanan.

Keadaan itu dilihat di pusat kota Palu ketika pihak berkuasa Indonesia bertungkus-lumus menggerakkan penghantaran bantuan ke pulau Sulawesi.

Angka rasmi korban sebanyak 844 dijangka meningkat ketika penyelamat mula tiba di kawasan luar yang dilanda gempa 7.5 magnitud disusuli tsunami setinggi enam meter.

Konvoi yang membawa makanan, air dan bahan api pula menunggu untuk diiringi anggota polis bagi menyekat cubaan mencuri sebelum bergerak masuk ke kawasan bencana.

Ratusan penduduk dilaporkan menyerbu dan mengambil barangan daripada pasar raya serta stesen minyak pada Ahad lalu.

Di Palu, ramai dilihat merempuh hadangan di sebuah pasar raya di tengah kota mencari barangan keperluan.

Sama ada lelaki atau wanita, mereka mengambil beg sampah, memasukkan biskut, kerepek, lampin, kertas tisu dan banyak barangan lain ke dalam bekas sebelum keluar dari situ.

“Bantuan belum diterima, kami perlu makan. Kami tidak ada pilihan lain, kami perlukan makanan,” kata seorang daripada mereka.

“Kami dalam keadaan krisis,” jerit seorang lagi.

Dua gegaran kecil berlaku ketika mereka meneroka ke dalam bangunan dan ada yang menjerit ‘gempa’, ‘gempa.’

Itu tidak menghalang orang lain untuk terus masuk ke dalam.

“Keadaan memaksa kami begini. Kami perlu makanan, air,” kata sekumpulan remaja.

“Kami ambil apa saja yang boleh diambil. Kami tidak tahu masak. Jadi, sebab itu kami buat begini.”

Penerbangan pesawat komersial belum disambung tetapi pesawat tentera membawa penduduk keluar dari Palu.

Kira-kira 3,000 orang berada dalam sebuah lapangan terbang kerana berharap dapat keluar manakala pegawai berusaha mengawal keadaan.

“Saya sanggup pergi untuk menaiki pesawat di mana-mana pun. Sudah dua hari saya menunggu. Saya belum makan atau minum,” kata seorang peniaga berusia 44 tahun, Wiwid.

Hampir tiga hari selepas gempa berlaku, keadaan sebenar bencana secara keseluruhannya belum diketahui.

Pihak berkuasa menjangka angka korban mungkin mencapai ribuan orang apabila kawasan yang terputus hubungan mula dimasuki penyelamat.

Sumber – Reuters/AFP

Orang ramai mencuri di kedai serbaneka di Palu, di Sulawesi Tengah, Indonesia. – Foto AFP
85