Pesta Damas tingkat promosi Sukau destinasi pelancongan

KINABATANGAN, 30 Sept – Penganjuran Pesta Damas, yang menampilkan budaya dan warisan suku kaum Sungai, akan meningkatkan lagi promosi Sukau sebagai destinasi pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata tarian tradisi dan muzik tradisional yang menjadi pengisian program ini menarik untuk diketengahkan bukan sahaja sebagai warisan budaya, bahkan produk pelancongan.

Justeru, kementerian memberikan sokongan terhadap penganjuran pesta tahunan ini yang diinisiatifkan oleh Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) sejak 2015.

“Sokongan ini termasuklah dalam memberikan peruntukan untuk penganjuran pesta ini,” katanya ketika merasmikan Pesta Damas 2018 di Dataran Tamu Pekan Sukau dekat sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden SABAS Datuk Juhari Janan dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Assafal P. Alian.

Pada majlis itu, Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam dianugerahkan gelaran ‘Tagazo’ oleh SABAS yang diberikan sebagai pengiktirafan kepada seseorang pemimpin.

Mohamaddin berkata pesta Damas dapat memperkukuhkan budaya dan tradisional suku kaum Sungai menerusi acara perlumbaan perahu Damas, alat muzik tagunggu, masakan, pakaian, nyanyian dan tarian tradisi.

Penganjuran pesta suku kaum seperti ini perlu dimanfaatkan dengan membawa ahli keluarga dan anak supaya mereka mendapat pendedahan dan mengenali lebih dekat pelbagai acara tradisional rakyat pelbagai suku kaum dan etnik di negeri ini.

Terdahulu Juhari dalam ucapannya berkata, persatuan itu memberi keutamaan kepada penganjuran  Pesta Damas pada setiap tahun sejak empat tahun lepas kerana menjadi landasan penting dalam  mengukuhkan budaya, perpaduan, kerjasama dan warisan suku kaum Sungai di negeri ini.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *