Kes kanser dikalangan kanak-kanak di Sabah meningkat

SEKADAR GAMBAR HIASAN

 

KOTA KINABALU, 29 Sept  – Kes kanser di kalangan kanak-kanak di Sabah semakin meningkat dengan antara  60 hingga 70 kes baharu dikesan setiap tahun melibatkan kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah, kata  Pengarah Kesihatan negeri  Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata bagaimanapun peningkatan itu disebabkan adanya kesedaran orang ramai untuk membuat pemeriksaan mengenai sistem penjagaan kesihatan melalui kempen yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan dan beberapa agensi serta badan bukan kerajaan yang terlibat.

“Kanser masih menjadi punca ketiga kematian yang berlaku di Malaysia. Oleh itu setiap tahun kita terus berusaha untuk mempertingkatkan kempen kesedaran berkenaan.

“Bulan September telah diiktiraf di seluruh dunia untuk kita meningkatkan kesedaran tentang kanser dalam kalangan kanak-kanak. Masih banyak yang perlu kita dilakukan untuk meningkat kempen kesedaran itu dan negara kita telah jauh ketinggalan untuk memahami, merawat dan mengawal kanser dalam kalangan  kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Minggu Kesedaran Kanser Kanak-kanak 2018, di sini hari ini.

Dr Christina berkata, berdasarkan jumlah kes kanser di seluruh negara, kira-kira lapan peratus daripada  pesakit berkenaan adalah daripada kalangan kanak-kanak.

“Tiga kanser yang paling tinggi menyerang kanak- kanak ialah leukemia diikuti kanser otak  dan kanser kelenjar limpa.

“Kanser lain termasuk kanser saraf, kanser mata, dan kanser buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata jika diberi rawatan pada masa yang tepat, ia akan membawa hasil  yang baik tetapi dengan syarat ibu bapa perlu memberikan kerjasama penuh dari segi rawatan.

Sumber – BERNAMA

380