KOTA KINABALU, 29 Sept – Seramai 31 individu ditahan polis dalam operasi bersepadu di sekitar bandaraya ini malam tadi sehingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua yang ditahan berusia di antara empat dan 54 tahun itu ditahan di beberapa lokasi dalam operasi bermula 10 malam hingga pukul 7 pagi tadi.
“Seramai 16 individu ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah dan 15 orang lagi ditahan kerana positif dadah.
“Mereka yang ditahan merupakan sebahagian daripada 72 individu yang diperiksa dalam operasi sembilan jam bermula 1 pagi di kawasan rumah setinggan dan rumah kongsi di Telipok, Manggatal, Inanam dan Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Habibi berkata tumpuan lokasi operasi itu adalah di kawasan yang mana kadar penduduk asing agak tinggi dan kawasan yang didapati berlakunya kegiatan jenayah di daerah ini.
“Operasi itu turut disertai beberapa agensi antaranya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Sabah Electricity Sdn Bhd,” katanya.
Beliau berkata operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan di masa akan datang dan orang ramai dialu-alukan menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran sebagai usaha membanteras jenayah di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.
Sumber – BERNAMA