KUDAT – Jala sepanjang 19 meter yang tersangkut pada terumbu karang di Pulau Lampu, Kalampunian di sini berjaya ditanggalkan oleh sekumpulan penyelam dalam satu program pembersihan.
Pengarah Pelancongan Taman Sabah, Fazrullah Rizally Abd Razak berkata jala tersebut ditanggalkan oleh sekumpulan operator penyelam dan Taman Sabah dalam satu program pembersihan air bawah tanah sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa (ICCD).
“Usaha itu menunjukkan bahawa para penyelam berkenaan sangat prihatin dan menyedari betapa pentingnya menjaga kesihatan terumbu sebagai tarikan pelancong untuk manfaat dan penerusan industri pelancongan,” katanya selepas program itu di sini hari ini.
Fazrullah Rizally berkata para penyelam lain ialah dari Biostation Borneo Utara, Kudat Mammalian Dive Centre, Sirip Blue, sukarelawan tempatan dan sukarelawan antarabangsa termasuk dari Finland, China dan Singapura.
Beliau berkata kerjasama antara pengendali pelancongan dan Taman Sabah adalah penting untuk mengatasi isu dan cabaran dalam pembangunan industri pelancongan lestari serta masa depan Taman Tun Mustapha.
Sumber – BERNAMA