Banyak rumah musnah, kapal hanyut ke pantai

JAKARTA: Bencana tsunami setinggi dua meter melanda bandar kecil di pulau Sulawesi, Indonesia, susulan gempa bumi kuat 7.5 magnitud, hari ini.

Banyak bangunan dilaporkan musnah dan sebuah kapal dihanyutkan ombak sehingga terdampar di tepi pantai, namun tiada maklumat mangsa cedera atau maut, setakat ini, kata pihak berkuasa.

Ketua agensi meteorologi dan geofizik Indonesia (BMKG), Dwikorita Karnawati berkata, pihak berkuasa menerima maklumat Palu dilanda tsunami, ketika beberapa gegaran susulan berlaku.

“Tsunami 1.5 meter hingga dua meter ini sudah surut. Ia sudah berakhir. Saya dimaklumkan keadaan huru-hara, ramai lari bertempiaran di jalanan dan bangunan runtuh. Ada kapal terdampar ke pantai,” katanya.

Terdahulu BMKG mengeluarkan amaran tsunami, namun ia ditarik balik dalam tempoh sejam kemudian.

Rakaman amatur yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan air menghempas rumah di sepanjang pantai di Palu.

Ketua agensi mencari dan menyelamat nasional, Muhammad Syaugi berkata, sebuah kapal besar dan beberapa helikopter akan dihantar untuk membantu operasi.

Katanya, beliau masih belum dapat menghubungi pasukannya di Palu.

Awal hari ini, Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPD) berkata, ia berdepan kesukaran menghubungi pihak berkuasa di Palu dan kawasan perikanan di Donggala yang terletak paling hampir dengan pusat gempa.

Difahamkan, gempa bumi itu berlaku 80 kilometer dari Donggala pada kedalaman 10 kilometer.

Lapangan terbang Palu turut ditutup.

Awal hari ini, kawasan itu dilanda gempa bumi kekuatan rendah yang memusnahkan beberapa buah rumah, mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan 10 penduduk lain, kata pihak berkuasa.

Sumber – Reuters

Keadaan sebuah pasaraya di bandar Palu yang rosak akibat gempa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *