Perpaduan dalam kepelbagaian kunci kepesatan pembangunan Sabah

KENINGAU, 27 Sept – Kesatuan serta perpaduan dalam kepelbagaian fahaman serta kepercayaan menjadi kunci kepada kepesatan pembangunan di negeri ini, kata Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu meletakkan perpaduan sebagai tonggak utama dalam memastikan keharmonian terus terjaga dan terpelihara.

“Apabila kita bermasyarakat dalam lingkungan berbilang kaum, agama dan adat resam berbeza, kesatuan serta perpaduan itu sangat penting.

“Rakyat negeri ini sangat beruntung kerana nilai seperti itu wujud di Sabah…nilai harmoni tinggi, nilai muhibbah terpuji dan kita terus saling hormat menghormati walaupun berlainan fahaman politik,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Keningau di sini, hari ini.

Pada sambutan kali ini, bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Liawan Sahanip Jamil dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2018 daerah Keningau.

Rasinin berkata kepesatan pembangunan di negeri ini, hasil daripada sikap positif rakyat yang sentiasa proaktif terhadap dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata pencapaian itu selari dengan ajaran junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menganjurkan umatnya supaya meletakkan perpaduan sebagai keutamaan perlu diperkasa sepanjang masa.

“Proses pengukuhan perpaduan rakyat hendaklah terus dilaksanakan kerana peredaran masa membawa bersama pelbagai cabaran baharu yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Kita mesti sentiasa bersatu bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang sudah dirangka dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat di daerah itu, khususnya umat Islam agar tidak terjebak dengan budaya pulau-memulau, benci-membenci serta prasangka buruk sesama sendiri yang boleh meruntuhkan institusi perpaduan kaum.

“Jangan cetuskan perpecahan semata-mata kerana soal berlainan fahaman politik,” katanya.

— BERNAMA

82