181 pelajar B40 terima bantuan kebajikan UMS

KOTA KINABALU, – Seramai 181 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) ditawarkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda melalui saluran kemasukan khas bagi sesi akademik 2018/2019.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata jumlah itu adalah keseluruhan 202 orang yang ditawarkan, dan pelajar terpilih berkenaan mendaftar di UMS pada awal September lepas, dalam pelbagai bidang pengajian.

“Sehingga kini, jumlah pelajar B40 berdaftar di UMS sebanyak 452 orang, manakala kumpulan ketiga bagi sesi 2015/2016 seramai 84 pelajar berjaya menamatkan pengajian dan bakal menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kebajikan dan ramah mesra pelajar B40 di kampus induk UMS, Likas di sini hari ini.

D Kamarudin berkata program kemasukan pelajar B40 itu dilaksanakan di UMS sejak sesi akademik 2013/2014 bagi membantu pelajar yang tercicir melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS turut memperuntukkan RM36,200 untuk membantu pelajar berkenaan memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti.

“Alhamdulillah sehingga hari ini, UMS belum pernah menerima rungutan atau aduan berkaitan kebajikan pelajar yang diabaikan,” katanya.

Pada majlis itu, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Seri Dr Hasbullah Taha menyampaikan bantuan kebajikan kepada pelajar berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *