
KOTA KINABALU: Empat lokasi di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi hari ini.
Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Kota Kinabalu merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 171, diikuti Kimanis dan Keningau masing-masing 156, manakala Tawau mencatat 132.
Sementara itu, Sandakan merekodkan bacaan 91, yang masih berada pada kategori sederhana.
Berikutan keadaan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah.
Orang ramai juga disaran mengelakkan aktiviti fizikal dan lasak ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Bagi mereka yang perlu keluar rumah, penggunaan pelitup muka yang sesuai turut disarankan, selain memastikan pengambilan air mencukupi dan menjaga kebersihan diri selepas melakukan aktiviti di luar.
JPBN turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU dan nasihat terkini daripada JAS serta pihak berkuasa kesihatan.
Individu yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas atau sakit dada dinasihatkan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
JPBN Sabah akan terus memantau perkembangan kualiti udara di seluruh negeri dan meminta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah