
KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) terus berdiri teguh biarpun ada segelintir bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan bertindak meninggalkan parti itu.
Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, perjuangan dalam WARISAN tidak pernah dibina atas jawatan, gelaran atau individu tertentu.
Namun katanya, perjuangan parti dibina atas aspirasi rakyat yang mahukan masa depan yang lebih baik untuk Sabah.
“Saya mengambil maklum keputusan beberapa individu untuk meninggalkan WARISAN baru-baru ini. Mereka yang meninggalkan parti bukanlah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
“Ia hanyalah segelintir bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan parti. Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi dan saya mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Dalam politik, sesebuah parti akan melalui pelbagai fasa. Mereka yang benar-benar ikhlas dan komited kepada perjuangan akan terus kekal.
“Mereka yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon atau kerana kehendak peribadi mereka tidak dapat dipenuhi, lazimnya akan memilih haluan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, WARISAN pernah melalui situasi sama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, beberapa wakil rakyat yang menang atas tiket WARISAN memilih untuk mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat.
Menurutnya, pihak terbabit menjadi katak politik, melompat parti demi kepentingan sendiri walaupun dipilih atas kepercayaan dan sokongan pengundi WARISAN.
Bagaimanapun katanya, kekuatan WARISAN tidak pernah bergantung kepada mana mana individu kerana ia terletak pada ahli-ahli biasa, para sukarelawan akar umbi dan rakyat Sabah yang terus percaya kepada perjuangan yang bersih dan berprinsip demi negeri ini.
Shafie berkata, sesebuah gerakan politik menjadi lebih kuat apabila mereka yang benar-benar komited terus kekal, manakala mereka yang kesetiaannya bergantung kepada jawatan, pencalonan atau kepentingan peribadi memilih untuk pergi.
“Ada yang meninggalkan parti kerana melihat politik sebagai soal apa yang boleh diberikan oleh parti, manakala mereka yang kekal pula memahami bahawa politik adalah tentang apa yang boleh kita sumbangkan kepada Sabah.
“Mereka yang mendakwa WARISAN semakin lemah telah mengulangi dakwaan yang sama berkali-kali selama ini. Mereka mengatakannya ketika wakil rakyat melompat parti, ketika pemimpin kanan meninggalkan parti, malah selepas pilihan raya tahun lalu.
“Mereka yang tidak mampu bertahan menghadapi ujian kesabaran ketika berada di blok pembangkang tidak akan mampu memikul tanggungjawab untuk mentadbir,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, WARISAN akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan hak-hak Sabah, memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi muda serta membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.
Menurutnya, apa yang berlaku hanyalah satu bab kecil dalam perjalanan perjuangan yang jauh lebih panjang.
“WARISAN tetap utuh dan akan terus mara kerana perjuangan untuk Sabah akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah