
RANAU: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas tersepit dalam kenderaan dipandunya dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ranau-Telupid, Kampung Tanah Merah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori treler.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang sebelum sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati seorang mangsa lelaki berusia 51 tahun tersepit di dalam van dan mengalami kecederaan parah.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu MPV dan lori treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.10 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah