
LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Bakapit, Kampung Perpaduan Tungku, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.49 pagi itu, kenderaan jenis sedan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.49 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi, semua mangsa didapati sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Tiga mangsa lelaki masing-masing berusia 44, 27 dan 19 tahun dilaporkan cedera dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Silabukan menggunakan kenderaan orang awam untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 7.45 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah